Wednesday 16 March 2016

Malam Tujuh Lekoh

Waktu malam hari semasa bulan puasa begitu meriah dengan cahaya pelita. Ada yang menggunakan tin dan ada pula yang menggunakan buluh. Kebiasaan tuanrumah akan memasang di persekilingan rumah seolah-olah pagar barisan pelita. Semasa aku masih dalam usia masih menuntut di sekolah rendah, 10 hari malam-malam terakhir bulan Ramadhan, yang angkanya ganjil, suasana malam hari begitu cerah di terangi dengan pelita. Aku tak lupa, di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, ada sebuah rumah yang menghias pelita tersusun seperti bintang.

Di kala berkumandang suara jemaah masjid bertadarus, kanak-kanak serta remaja akan sibuk bermain bunga-api. Antara yang menarik dan masih segar dalam ingatan ialah bunga-api yang akan mengeluarkan payung terjun. Walaupun ianya seiras seperti rupa tuala, berwarta putih, kanak-kanak berebut-rebut cuba mengejarnya. Kebiasaanya semasa perebutan jarang payung terjuan itu akan di ambil dengan sempurna. Selalunya koyak, tetapi perasaan serta kepuasan mengejar yang jadi menarik. Ada yang terjatuh dalam longkang, ada yang terlondeh kain, ada hilang songkok semasa berlari dan ada yang bawa basikal terlanggar pokok sebab brek basikal tak makan.

Pada yang remaja dan dewasa, kegemaran mereka ialah berperang bunyi meriam buluh. Secara perkumpulan mereka akan menyusur persisiran sungai bonos dekat kg bharu untuk mencari batang buluh yang bersesuaian untuk di jadikan meriam. Bahan letupan yang popular di gunakan ialah kabaid. Dentupan meriam buluh memang menggeggarkan. Kumpulan yang berlainan akan berbalas tembakan sehingga yang kedengaran kuat akan menang.

Malam-malam tujoh lekor atau nama rasminya, malam Lailatul Qadar, di raikan hampir sebagai malam Hari Raya, di mana yang remaja sibuk dengan aktivitinya, manakala yang berumur akan menghabiskan masa beribadah samaada di surau atau masjid.

Semasa hari terkhir malam bulan Ramadhan sementara menunggu ketibaan 1 shawal, kebanyakan dari orang kampung, samaada tua atau muda akan menunggu pegistiharan nampak anak bulan di radio atau televisyen, sebelum mula masak rendang, ketupat atau dodol. Saat pemegang mohor diraja membuat pengumuman amat sekali di tunggu dengan penuh debaran.


No comments:

Post a Comment